fb fb fb fb fb

Springboks intai gelaran keenam, Kolisi mahu pemain fokus prestasi

Siya Kolisi (kanan) dalam sidang media menjelang perlawanan penentuan Kejuaraan Ragbi menentang Argentina di London/ REUTERS

LONDON, 4 Oktober - Afrika Selatan dilihat memiliki kelebihan menjelang perlawanan penentuan Kejuaraan Ragbi menentang Argentina di London pada Sabtu, namun kapten pasukan, Siya Kolisi menegaskan, kelebihan itu hanya akan memberi makna sekiranya prestasi pasukan seiring dengan cita-cita mereka memburu kejuaraan.

Perlawanan tersebut merupakan aksi 'di laman sendiri' buat Argentina yang memilih Stadium Twickenham sebagai gelanggang rasmi, namun dijangka dibanjiri penyokong Springboks yang mahu menyaksikan pasukan kesayangan mereka mempertahankan kejuaraan bagi dua musim berturut-turut.

Afrika Selatan membenam Argentina 67-30 dalam aksi di Durban minggu lalu sekali gus melonjak ke tangga teratas carta Kejuaraan Ragbi dengan kutipan 15 mata – satu mata mengatasi New Zealand dan empat mata di depan Australia, yang akan berentap lebih awal pada hari sama di Perth.

Afrika Selatan turut memiliki 55 perbezaan mata jauh lebih baik berbanding New Zealand yang kekurangan enam mata dan Australia mempunyai kelebihan satu mata, sekali gus bermakna kemenangan tanpa mata bonus pun sudah memadai, kecuali berlaku keputusan luar jangka di Perth.

Tidak seperti kebiasaan yang menyaksikan kunjungan sukar ke Buenos Aires, Cordoba atau Mendoza, Springboks kali ini menamatkan kempen mereka di London Barat – gelanggang yang sering membawa tuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Ia hanya akan menjadi kelebihan sekiranya kami benar-benar memanfaatkannya. Saya tidak pasti sejauh mana ia membantu kerana tidak kira berapa ramai penyokong Argentina berada di stadium, anda akan tetap mendengar sorakan mereka sepanjang perlawanan," kata Kolisi.

Argentina sebelum ini menewaskan New Zealand di gelanggang sendiri serta Australia di tempat lawan, dan Kolisi menjangkakan tentangan sengit daripada pasukan yang disifatkannya semakin matang dari musim ke musim.

"Apa yang membezakan mereka kini ialah semangat juang yang tinggi dan corak permainan yang lebih konsisten. Mereka masih mengekalkan identiti permainan berteraskan kreativiti dan pantas menghukum kesilapan lawan apabila permainan terbuka.

"Menentang New Zealand dan Australia, mereka berjaya bertahan di garisan gol sendiri, kemudian melakukan serangan balas pantas hingga menghasilkan mata. Jadi, kami perlu berwaspada setiap masa," tambah Kolisi.

Afrika Selatan kini berpeluang menjulang trofi Kejuaraan Ragbi buat kali keenam dan mengekalkan kejuaraan itu buat kali pertama, namun Kolisi menegaskan tumpuan utama mereka kekal pada persembahan di padang.

'Masih ada beberapa pemain yang belum pernah merasai nikmat memenangi Kejuaraan Ragbi, jadi itu antara motivasi kami. Namun ini bukan masa untuk memikirkan rekod atau sejarah. Keutamaan kami adalah memastikan tugasan esok berjalan sempurna.

"Jika semuanya berjalan lancar, barulah kami akan menoleh semula dan meraikan apa yang telah dicapai," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI