MELAKA, 4 Oktober - Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketujuh yang bermula di Jalan Hang Tuah, di sini hari ini diharap berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, ia susulan perlumbaan peringkat itu merupakan laluan paling jauh dengan jarak 214.9 kilometer (km).
"Paling penting ialah segala urusan berjalan lancar tanpa sebarang insiden, memandangkan sebagai tuan rumah, kita bertanggungjawab terhadap keselamatan semua pihak. Kedua, saya gembira melihat kehangatan diteruskan oleh para peminat tempatan pada hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelepasan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Ketujuh di Jalan Hang Tuah, di sini.
Adam Adli turut berharap peminat basikal tanah air tidak melepaskan peluang untuk memberi semangat kepada semua pelumba apabila tiba di laluan yang ditetapkan.
LTdL peringkat ketujuh bermula di Jalan Hang Tuah, Melaka dan akan berakhir di Medini, Johor.
