fb fb fb fb fb

Djokovic buka langkah di Shanghai dengan kemenangan sukar ke atas Cilic

Novak Djokovic/ REUTERS

SHANGHAI, 4 Oktober - Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic, memulakan kempen memburu gelaran kelima pada Kejohanan Rolex Shanghai Masters dengan kemenangan sukar ke atas Marin Cilic, 7-6 (2), 6-4 dalam perlawanan pusingan kedua pada Jumaat (3 Oktober).

Dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 55 minit, Djokovic, pilihan keempat kejohanan itu mengukuhkan rekod cemerlangnya pada kejohanan ATP Masters 1000 di China dengan catatan keseluruhan 40 kemenangan dan 6 kekalahan. Beliau juga memperbaiki rekod pertemuan dengan Cilic kepada 20 kemenangan dan hanya 2 kekalahan.

Djokovic mempamerkan aksi konsisten dengan melakukan 10 servis ace, menyelamatkan kesemua empat mata break point, dan mencatat 21 pukulan kemenangan (winners) serta hanya empat unforced errors. Beliau memperoleh satu-satunya mata break dalam perlawanan tersebut pada game ketiga set kedua.

Dengan kemenangan itu, Djokovic menjadi pemain pertama mencatat sekurang-kurangnya 40 kemenangan dalam enam kejohanan ATP Masters 1000 berbeza sejak format tersebut diperkenalkan pada 1990 — Rome (68), Indian Wells (51), Paris (50), Miami (49), Cincinnati (45), dan Shanghai (40).

Djokovic akan menentang pemain kelayakan dari Jerman, Yannick Hanfmann di pusingan ketiga, selepas Hanfmann mengejutkan pilihan ke-25, Frances Tiafoe.

Dalam kejutan lain pusingan kedua, David Goffin dari Belgium menewaskan pilihan keenam, Ben Shelton, manakala rakan senegaranya Zizou Bergs menundukkan pilihan ke-11, Casper Ruud dari Norway, yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 3-6, 7-5, 1-4.

Sementara itu, pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Taylor Fritz, bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Hungary, Fabian Marozsan, 2-6, 7-6 (4), 7-6 (1).- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI