KUALA NERUS, 4 Oktober - Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, memuji semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya meraih kemenangan bergaya ke atas Kelantan The Red Warriors malam tadi.
Beliau sebelum ini turut mengingatkan pemain agar lebih fokus dan tidak mengulangi kesilapan ketika bertemu Kuala Lumpur City, baru-baru ini.
“Sedikit sebanyak memang ada peningkatan, terutama di bahagian serangan. Setiap perlawanan kita mampu jaringkan gol, itu positifnya. Cuma di babak kedua, pemain seolah-olah perlu dibolosi dahulu barulah bertindak untuk menambah jaringan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan, mengakui kekalahan pasukannya apabila berdepan lawan yang bermain lebih baik.
Beliau berkata, pasukannya sukar bangkit selepas ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama.
“Ada dua faktor. Pertama, kita bolos dengan dua gol mudah dan cara permainan di babak pertama banyak beri ruang kepada pasukan Terengganu. Kualiti pemain mereka juga jelas lebih baik, itu kita kena akui. Untuk bangkit selepas ketinggalan tiga gol memang sukar, tapi di separuh masa kedua kita buat beberapa pertukaran dan ada nampak perbezaan dalam pasukan," katanya.
Untuk aksi seterusnya, Kelantan TRW dijadual menentang Melaka FC di Kota Bharu pada 24 Oktober ini.