fb fb fb fb fb

Speedy Tigress benam Singapura 5-1

Skuad hoki wanita kebangsaan menepati ramalan apabila mudah menundukkan Singapura 5-1. Foto MHC

KUALA LUMPUR, 10 September – Skuad hoki wanita kebangsaan menepati ramalan apabila mudah menundukkan Singapura 5-1 pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China.

Lebih menarik, Malaysia memperagakan aksi tajam melalui pukulan sudut penalti apabila kesemua gol mereka dijaringkan menerusi situasi tersebut pada aksi yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park.

Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin membuka tirai jaringan seawal minit keenam sebelum menggandakan koleksi peribadi pada minit ke-20.

Dayang Nuramirah Abang Mahadini turut menyerlah dengan dua gol pantas pada minit ke-16 dan ke-18.

Nuramirah Shakirah Zulkifli melengkapkan pesta jaringan skuad Speedy Tigress pada minit ke-41, sebelum perlawanan terhenti hampir sejam di suku keempat akibat cuaca buruk.

Sebaik permainan bersambung pada minit ke-50, benteng pertahanan negara akhirnya ditembusi apabila Johana Hajarith menyumbat gol sagu hati Singapura, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-54.

Malaysia bakal meneruskan cabaran menentang Thailand esok, sebelum menutup saingan klasifikasi menentang Taiwan.

Hanya dua pasukan teratas akan mara ke penentuan tempat kelima, Ahad ini.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan ini adalah tempat ketiga pada edisi sulung di Seoul, 1985.

JALALUDDIN BIN BAHARIN