fb fb fb fb fb

Speedy Tigers tewas 0-3 kepada Australia dalam siri perlawanan ujian antarabangsa

KUALA LUMPUR, 24 April- Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan siri perlawanan ujian antarabangsa menentang Australia dengan langkah kiri selepas tewas 0-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Perth, petang semalam.

Turun berdepan pasukan nombor satu dunia yang diberi julukan “Kookaburras”, skuad negara bimbingan Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj dikejutkan seawal minit pertama menerusi jaringan padang Tom Wickham yang bijak menampan hantaran lintang rakan sepasukan.

Australia kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-19 selepas Blake Govers menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum menoktahkan kemenangan apabila Jeremy Hayward memastikan kemenangan pasukannya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pihak lawan dalam usaha memastikan gawang pasukan negara tidak terus dibolosi.


(Foto FB KHM)

Sementara itu, Arul menyifatkan bolos di awal minit permainan sesuatu yang mengecewakan, namun akan membuat penilaian perlawanan untuk mengenal pasti kelemahan yang membawa kepada jaringan tersebut agar ia tidak berulang pada perlawanan berikutnya.

“Secara keseluruhan penjaga gol Hafizuddin bermain dengan bagus dan menidakkan beberapa peluang gol lawan. Apa yang perlu kami pertingkatkan lagi adalah pengawalan bola agar tidak memberikan kembali bola kepada pihak lawan dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun tewas 0-3, skuad kebangsaan berjaya mengatasi Australia 4-3 menerusi pukulan penalti dalam satu sesi selepas tamat perlawanan itu.

"Ia sesuatu yang positif untuk kami kerana kami meraih kemenangan pukulan penalti berdepan pasukan di ranking nombor satu dunia," tambahnya.

Skuad “Speedy Tigers” akan meneruskan siri perlawanan ujian antarabangsa bertemu Australia esok sebelum menamatkan dua aksi terakhir, masing-masing pada 26 dan 28 April.

Media Baharu