KUALA LUMPUR, 24 April- Sri Pahang FC akhirnya berjaya mengutip tiga mata sulung selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi pertama Liga Super, membenam Penang FC 3-1 di laman sendiri, Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Seawal permainan bermula, Penang FC dilihat lebih agresif menyerang berbanding pasukan tuan rumah yang beraksi secara bertahan dan sesekali melakukan serangan balas sebelum berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang Muhamad Nor Azam Abdul Azih dari luar kotak penalti.
Penang FC bangkit mengikat keputusan 1-1 selepas Sukri Abd Hamid meledak jaringan pada minit ke-46 yang gagal diselamatkan penjaga gol skuad Tok Gajah Mamadou Samassa namun kedudukan itu tidak bertahan lama.
Sri Pahang FC kembali mendahului permainan pada minit ke-64 hasil jaringan David Rowley yang menanduk masuk hantaran Baqiuddin Shamsudin sebelum Sean Gianelli menambah derita Penang FC menerusi gol ketiga dihasilkannya pada minit ke-73.
Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang FC kini mengumpul empat mata di kedudukan kesembilan liga selepas mencatat dua kekalahan dan satu keputusan seri pada aksi terdahulu.-BERNAMA
(Foto FB MFL)