(Penyerang JDT II, Fernando Rodriguez dicabar dua pemain Kelantan FC/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 24 April- Sarawak United FC cemerlang menundukkan pasukan tuan rumah, Petaling Jaya (PJ) City FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali gus menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan.
Penyerang Francis Kone menjadi wira pasukan apabila meledak dua gol masing-masing menerusi tandukan pada minit ke-46 dan sepakan penalti pada minit ke-85.
Pada aksi tersebut, skuad bimbingan jurulatih berpengalaman luas, B. Sathianathan itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Boris Kok pada minit ke-21 sebelum Kone menggandakan kedudukan namun PJ City berjaya mengurangkan defisit gol hasil rembatan M.Kogileswaran Raj pada minit ke-75.
Sarawak United kini mengumpul empat mata di kedudukan kedua tercorot sementara PJ City di tangga keenam dengan tujuh mata.
(Foto BERNAMA)
Sementara itu, dalam saingan Liga Premier menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) II merampas kedudukan pendahulu takhta daripada pencabar terdekat, Kelantan FC, dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Perak FC di Stadium Perak, Ipoh.
Tiga gol JDT II masing-masing dijaringkan Fernando Rodriguez pada minit ke-24 dan minit ke-36 (sepakan penalti) diikuti gol Adam Farhan Faizal pada minit ke-52 manakala pasukan tuan rumah memperoleh gol sagu hati menerusi sepakan penalti Hakimi Mat Isa pada minit ke-38.
Turut mengutip tiga mata penuh, Kuching City FC membelasah Skuad Projek FAM-MSN 4-0 sementara satu lagi aksi Liga Premier menyaksikan Kelantan United mengatasi UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.- BERNAMA