fb fb fb fb fb

Sorotan sukan RTM: Arena sukan negara terus cipta sejarah


KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Tahun 2022 terus menjadi musim cemerlang buat atlet Malaysia melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

Paling manis sudah tentu kejayaan skuad hoki lelaki negara muncul juara kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia menumbangkan kuasa besar Iran pada final.

Selain itu, kem memanah, ski air dan skuad boling turut menyerlah di pentas antarabangsa.

HOKI DALAM DEWAN PIALA ASIA 2022 CIPTA SEJARAH MUNCUL JUARA

Sejarah tercipta di bumi Thailand selepas buat julung kali skuad hoki lelaki negara menjuarai kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia menewaskan Iran 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti di final.

Lebih membanggakan, kejayaan itu sekaligus memecah dominasi ditampilkan Iran sejak 2008.

Skuad hoki wanita juga tidak kurang hebat, meraih gangsa menewaskan Kazakhstan.

(Skuad hoki lelaki negara meraikan kejayaan meraikan Hoki Dalam Dewan Piala Asida di Bangkok, Thailand - FOTO KHM)


SUKAN PERPADUAN ISLAM TURKIYE

Sementara itu di Konya, Turkiye, dua emas dan satu gangsa berjaya diraih skuad memanah negara pada temasya Sukan Perpaduan Islam 2021.

Emas pertama negara disumbang gandingan Juwaidi Mazuki, Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menerusi acara compound berpasukan lelaki.

Juwaidi turut menyumbang emas dalam acara compound individu lelaki dan gangsa dalam acara berpasukan campuran bersama Nur Aina Yasmine Halim.

BOLING REMAJA ASIA 2022: MUNCUL TEMPAT KETIGA KESELURUHAN

Skuad boling negara juga cemerlang di Kejohanan Remaja Asia 2022 di tempat ketiga keseluruhan, mengumpul satu emas, tiga perak dan dua gangsa.

Emas di sumbang Shaqeem Izwan Teh Shahrul Hafiz Teh dalam acara individu, manakala Syabil Azam Syamsul Azam menjadi salah seorang penyumbang perak menerusi acara masters.

Kem wanita juga membuktikan kemampuan dengan menyumbang perak menerusi gandingan Anis Hannani Romzi dan Adania Mohd Redzwan.

AALIYAH YOONG GONDOL EMPAT PINGAT EMAS

Malaysia juga gah menempa nama di Chuncheon, Korea Selatan, menerusi kejayaan atlet ski air Aaliyah Yoong, mengondol empat emas dalam Kejohanan Ski Air Asia IWWF.

Aaliyah mendominasi acara 'tricks', 'jump', 'slalom' untuk bergelar juara keseluruhan mengatasi pesaing dari negara lain termasuk Jepun, Korea dan Thailand.

Peluncur berusia 19 tahun itu memenangi emas pertamanya pada Jumaat selepas berjaya memperoleh 7,440 mata dalam acara 'tricks' terbuka wanita.

(Atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah)

RTM PERUNTUK RM32.5 JUTA SELAKU PENYIAR RASMI PIALA DUNIA QATAR 2022

Sementara itu pencinta bola sepak tanah air boleh menyaksikan kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 November ini secara percuma.

Ini selepas Radio Televisyen Malaysia (RTM) sah akan menjadi penyiar rasmi kejohanan itu dengan menyiarkan 27 perlawanan secara langsung dan 14 secara tertunda.

Oleh itu, sebanyak RM32.5 juta diperuntukan bagi menyiarkan 130 jam siaran secara keseluruhan.

Laporan khas disediakan oleh Tuan Ikram Tuan Muhamad, RTM.




Media Baharu