fb fb fb fb fb

12 acara Sukma 2022 gugur, KBS nafi wujud sabotaj

IPOH, 20 Ogos- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan wujud unsur sabatoj oleh persatuan sukan, susulan pengguguran 12 acara Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya sedang memperhalusi beberapa langkah bagi memastikan acara tersebut dapat dilangsungkan.

Ini termasuk melonggarkan syarat penyertaan dari segi jumlah penyertaan negeri.

"Setakat sekarang ini kita memutuskan bahawa bagi acara-acara yang mempunyai lapan negeri yang memasukinya dapat masuk, kita dah turunkan menjadi enam.

"Jadi ada cadangan sekarang ini nak beberapa acara itu dikurangkan kepada lima, itu sedang kita perhalusi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rukun Negara@Belia (RNB) di Klebang, di sini.

Sebelum ini, Ahmad Faizal memaklumkan 12 acara terpaksa digugurkan kerana penyertaan kurang daripada enam kontinjen seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia.

(Ahmad Faizal Azumu)

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal memberitahu akan mengadakan rundingan bersama Menteri Besar Selangor bagi membincangkan isu penjualan tiket MotoGP Malaysia yang dikatakan masih hambar ketika ini.

Litar Antarabangsa Sepang, SIC sebelum ini memaklumkan salah satu faktor kelembapan penjualan tiket disebabkan oleh cukai 25 peratus yang dikenakan kerajaan negeri.

"Saya amat yakin kerajaan negeri Selangor juga akan memberi perhatian yang serius kepada perkara ini kerana ia juga melibatkan pelancongan masuk ke negeri Selangor.

"Sudah tentunya mereka akan beri pertimbangan sewajarnya bagi memastikan lebih ramai akan datang menyaksikan kejohanan MotoGP kita pada tahun ini," jelas beliau.

Saingan MotoGP Malaysia dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober ini.

Media Baharu