fb fb fb fb fb

SOPMA XXII: Dana tidak cukup, kontinjen atlet pekak Selangor pertimbang tarik diri

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf), Sarkunan Balakrishnan/BERNAMA

SHAH ALAM, 24 September- Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf) berdepan cabaran besar apabila hanya berjaya mengumpul sebahagian kecil dana bagi menyertai Festival Sukan Orang Pekak Malaysia Kali Ke-22 (SOPMA XXII) di Kuching, Sarawak.

Menurut Presidennya, Sarkunan Balakrishnan, jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima hanyalah RM8,500 setakat ini dan kos minimum yang diperlukan mencecah anggaran RM80,000.

Terdahulu, pihak persatuan telah mengemukakan permohonan bantuan kepada sektor swasta, kerajaan negeri, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya empat pihak tampil memberikan sumbangan, setakat ini.

"Untuk menghantar kontinjen ke Sarawak, kita mempunyai seramai 80 orang termasuk atlet dan pegawai. Namun, pada masa ini kita sedang mempertimbang untuk menarik diri berikutan kekangan dan yang tidak mencukupi. Kami berasa kecil hati kerana para atlet telah menjalani latihan intensif selama setahun merangkumi pelbagai jenis sukan.

Malah, kebanyakan daripada mereka berlatih menggunakan perbelanjaan sendiri. Segala kos yang digunakan oleh atlet itu sepatutnya akan dibayar balik. Tetapi dengan situasi yang berlaku kini, ia amat mengecewakan Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor," kata Balakrishnan kepada pemberita, hari ini.

Antara yang menyumbang ialah Datuk Seri Jamil Salleh sebanyak RM1,000, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, YB Lim Yi Wei RM2,000, Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, YB Nawzuan RM500 serta Majlis Sukan Negeri Selangor sebanyak RM5000.

Sehubungan itu, persatuan merayu kepada orang ramai, syarikat korporat dan pihak berkaitan untuk tampil menghulurkan bantuan agar kontinjen Selangor dapat menyertai kejohanan tersebut.

SOPMA XXII akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 2 hingga 7 Oktober depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM