fb fb fb fb fb

Isu ganjaran: Liek Hou sedia berdamai dengan MPM

Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou/BERNAMA

SUBANG JAYA, 24 September- Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou mengakui beliau sedia melupakan sengketa dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) susulan kontroversi berhubung isu ganjaran kemenangan, baru-baru ini.

Pemenang dua kali pingat emas Paralimpik itu menegaskan, langkah berdamai adalah pilihan terbaik demi memastikan hubungan baik bersama badan induk dapat dipulihkan.

Tambahnya, fokus utamanya kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan serta persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa yang bakal berlangsung.

“Saya akan berbincang, kalau mereka mahu. Jika MPM menjemput saya untuk berbincang atau berdamai, sentiasa boleh dan mereka dialu-alukan,” katanya.

Liek Hou berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis penyerahan cek daripada sebuah syarikat pembangunan berpangkalan di Johor.

Pada majlis itu, beliau menerima ganjaran berjumlah RM35,000 sebagai penghargaan atas kejayaannya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024, baru-baru ini.

Juara dunia 14 kali itu turut mengakui, sehingga kini beliau masih belum dihubungi pihak MPM untuk sebarang penjelasan mahu pun perbincangan rasmi berhubung isu berkenaan.

Katanya, kemelut berkenaan tidak akan menjejaskan kerjayanya serta penyertaan di bawah MPM pada masa depan, selagi wujud ruang untuk duduk berbincang.

Beliau juga percaya semangat kesukanan dan kejayaan negara seharusnya menjadi keutamaan semua pihak agar isu seumpama itu tidak berpanjangan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kemelut tersebut dianggap selesai selepas sebuah syarikat serbaneka tampil menambah RM35,000 bagi melengkapkan ganjaran, selepas MPM hanya mampu menyediakan RM25,000 sebelum ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM