BARCELONA, 23 Sept- Pemain tengah Barcelona, Gavi dijangka terlepas perlawanan sehingga lima bulan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan lutut.
Barcelona dalam satu kenyataan memaklumkan, Gavi telah menjalani 'arthroscopy' untuk memulihkan kecederaan meniskus pada bahagian lutut. Masa pemulihan dianggarkan sekitar empat hingga lima bulan," menurut kelab.
Pemain antarabangsa Sepanyol berusia 21 tahun itu mengalami koyak ligamen pada 2023 di bahagian lutut yang sama.
Gavi tidak bermain sejak Ogos lalu, dengan Barcelona pada mulanya berharap rawatan konservatif akan menyelesaikan masalah itu, tanpa perlu menjalani pembedahan.
Barca akan menentang Real Oviedo pada Khamis dalam aksi La Liga sebelum menyambut Real Sociedad pada Ahad, kemudian melayan kunjungan Paris Saint-Germain minggu depan dalam Liga Juara Eropah. -AFP