fb fb fb fb fb

SOPMA : Sarawak sasar raih lapan pingat emas

FOTO KWPK

KUCHING, 30 September - Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya lapan pingat emas pada Temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22 yang membuka tirainya esok di Kuching.

Pada edisi 2023 di Kuala Lumpur, kontinjen Sarawak menamatkan saingan di tempat kedua dengan kutipan enam pingat emas, dua perak dan enam gangsa.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kontinjen kali ini dibarisi 73 peserta terdiri daripada 47 atlet dan 26 pegawai.

“Berdasarkan prestasi sebelum ini, kita yakin sasaran sekurang-kurangnya lapan pingat emas mampu dicapai, apatah lagi kontinjen Sarawak kali ini hadir dengan persediaan yang rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak bersempena SOPMA Ke-22 di Kuching pagi tadi.

Sebanyak lima acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, futsal, tenpin boling dan orienteering, dengan venue pertandingan tertumpu di sekitar Kuching dan Samarahan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan Majlis Pembukaan pada Khamis, manakala majlis penutup akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Fatimah pada Isnin depan.

SOPMA Ke-22 menghimpunkan 610 atlet pekak dari seluruh negara dengan penglibatan 390 pegawai pasukan, pegawai teknikal serta sukarelawan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE