fb fb fb fb fb

Laluan mencabar uji pelumba di peringkat ketiga LTdL 2025

Foto RTM

GERIK, 30 September - Peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bermula di Jalan Mat Saman Utama, Gerik dengan kayuhan sejauh 198.2 kilometer menuju ke Pasir Puteh, Kelantan.

Majlis pelepasan disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Salbiah Mohamed bersama Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli.

Perlumbaan kali ini membariskan 123 pelumba daripada 22 pasukan, dengan laluan dianggap mencabar kerana melibatkan tiga zon pendakian utama iaitu Gerik (km 18), Sri Banding (km 26) dan Puncak Titiwangsa (km 65.9).

Puncak Titiwangsa yang berketinggian lebih 1,000 meter menjadi cabaran terbesar pelumba sebelum mereka meneruskan kayuhan ke tiga zon pecutan di Jeli, Bukit Bunga dan Machang.

Perlumbaan dijangka sengit apabila gabungan laluan berbukit dan landai hari ini bakal menjadi penentu perebutan jersi raja bukit dan raja pecut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD