CYBERJAYA, 30 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman dikenakan badan induk itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata FAM sebagai sebuah persatuan sukan yang besar dan berpengalaman, diyakini mempunyai keupayaan serta pasukan perundangan mencukupi untuk menguruskan proses rayuan berkenaan.
Hannah berkata sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan kes berkenaan wajar diajukan terus kepada FAM memandangkan badan induk bola sepak negara itu lebih mengetahui perkembangan terkini mengenai proses rayuan mereka.
“Saya hanya akan memberikan kenyataan rasmi selepas keputusan rayuan FIFA.
“Saya pasti kalau ada silap mana-mana saya nak pastikan kita ada ruang untuk memperbaiki supaya perkara ini tidak berlaku lagi. Tetapi buat masa ini masih terlalu awal kerana saya nak tahu status rayuan kepada FIFA dulu sebelum buat apa-apa komen lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Belia (RTD) Memperkasa Pendidikan Kesihatan Seksual Dan Reproduktif di RekaScape di sini hari ini.
Hannah berkata tiada keperluan buat masa ini untuk KBS memberi bantuan tambahan kepada FAM bagi urusan rayuan itu memandangkan persatuan mempunyai sumber sendiri.
Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.