SHAH ALAM, 30 September – Aksi perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bakal menyaksikan beberapa laluan utama di Selangor ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pelumba, bermula Khamis ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata penutupan melibatkan lapan daerah iaitu Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kajang, Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang, dengan jarak keseluruhan 162 kilometer (km).
Perlumbaan peringkat kelima akan bermula di Hulu Selangor pada Khamis, dengan kayuhan melalui Jalan Gap menuju Bukit Fraser dan Fraser’s Hill, bermula pukul 1.49 tengah hari.
“Pada Jumaat, peringkat keenam akan dilepaskan dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam pukul 9 pagi, sebelum pelumba menempuh laluan Persiaran Sultan, Sri Andalas, Sijangkang, Telok Panglima Garang, Jenjarom, Sungai Manggis dan Telok Datok.
"Mereka seterusnya akan melalui Banting, Morib, Tanjung Sepat, Sungai Pelek dan Pekan Sepang sebelum menamatkan perlumbaan di Port Dickson,” katanya menerusi kenyataan.
Penutupan melibatkan lapan daerah iaitu Hulu Selangor, Ampang Jaya, Kajang, Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang, dengan jarak keseluruhan 162 kilometer (km)/Foto Hiasan/Bernama
Aksi kemuncak di Selangor diteruskan Ahad (3 Oktober) apabila peringkat kelapan bermula di Beranang melalui Semenyih, Jalan Sungai Lalang, Sungai Tekala, Jalan Hulu Langat dan Jalan Ampang, sebelum berakhir di hadapan KLCC.
Penutupan jalan dijadualkan bermula pukul 2.55 petang melibatkan kawasan Kajang dan Ampang Jaya.
Seramai 392 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama 235 anggota pasukan sahabat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ditempatkan di sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran trafik.
Shazeli turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelakkan laluan terlibat dan merancang perjalanan lebih awal.
LTdL 2025 yang meliputi semua 12 negeri Semenanjung Malaysia merangkumi lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,243.5 km.
Edisi kali ini bermula di Pulau Langkawi dan akan menutup tirai di KLCC, Kuala Lumpur pada 5 Oktober.