KUALA LUMPUR, 29 Sept - Kontinjen Wilayah Persekutuan tekad menamatkan kemarau kejuaraan pada kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2025 setelah kali terakhir muncul juara keseluruhan pada 2018.
Presiden Sukan Orang Pekak Wilayah Persekutuan, Ong Shin Ruenn menyasarkan tujuh pingat emas menerusi acara tenpin boling dan olahraga pada temasya yang berlangsung di Kuching, Sarawak dari 1 hingga 7 Oktober ini.
"Kali ini kita bawa 60 atlet dengan sasaran tujuh emas. Kita mahu kembali jadi juara keseluruhan. Tambahan pula kita ada Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, Muhammad Zamir Azman yang baru menang di Jakarta," katanya selepas pelepasan kontinjen Wilayah Persekutuan ke temasya SOPMA, hari ini.
Mengulas mengenai kedudukan SOPMA, Shin Ruenn yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menegaskan pihaknya masih berusaha agar temasya itu diiktiraf setaraf SUKMA dan Para SUKMA.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, isu ini masih dalam kajian. Harapan kami agar atlek pekak juga berhak terima insentif apabila mereka menang," katanya.
