IPOH, 29 Sept- Perak FA sekadar mengutip satu mata selepas diikat Kelantan Red Warrior FC 1-1 dalam aksi Liga A1 Semi-Pro, di sini petang tadi.
Pasukan pelawat bermula garang selepas rembatan Mazwan Che Mat pada minit ke-3 terkena tiang gol.
Asakan berterusan anak buah Irfan Bakti membuahkan hasil selepas Faiz Nasir dijatuhkan dalam kotak penalti.
Tonggak import, Emmanuel Mbarga tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-16 menewaskan Syazwan Syazany di gawang Perak FA.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah memperkemas permainan bagi mencari gol penyamaan.
Hasilnya, Perak FA dihadiahkan sepakan penalti selepas Ahmad Daniel Hakimi dikasari pemain pertahanan Kelantan Red Warrior.
Christian Chukwu kemudian menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-69.
Anak buah Syamsul Saad berpeluang berada di depan pada minit ke-76 apabila sepakan percuma Ahmad Daniel Hakimi dikesan tidak melepasi garisan gol oleh pengadil, Anselm Entereng.
Kedudukan satu sama kekal hingga wisel penamat menyaksikan Perak FA berada di kedudukan ke-4 liga manakala Kelantan Red Warrior FC di tangga ke-13.
