fb fb fb fb fb

Rooney tidak percaya Amorim boleh ubah nasib United

Wayne Rooney -Foto REUTERS

LONDON, 29 Sept- Legenda Manchester United, Wayne Rooney mengakui sudah hilang kepercayaan terhadap kemampuan pengurus pasukan, Ruben Amorim untuk mengubah nasib United.

Rooney, penjaring terbanyak sepanjang zaman United berkata, beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan dengan jangkaan United akan kalah.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku, ini bukan Manchester United. Saya benar-benar berharap Amorim boleh ubah keadaan, tetapi secara jujur saya hilang kepercayaan," katanya dalam podcast BBC.

Rooney, yang memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara Eropah bersama Red Devils juga mendedahkan bahawa dia tidak mengiktiraf kelab itu.

"Saya tidak lihat mereka berjuang, tiada karakter, tiada keinginan untuk menang.

"Jiwa kelab sudah hilang. Ia memerlukan nafas baru dan sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan kelab bola sepak itu.

"Namun, ini semua bukan terletak pada pengurus. Pemain, mereka tidak layak menyarung jersey United dan ia menyakitkan," ujarnya.

Rooney turut meluahkan kebimbangan terhadap budaya kelab yang menurutnya semakin rosak sejak era gemilang Alex Ferguson berakhir.

"Saya lihat staf hilang kerja, orang keluar dari kelab. Saya ada dua anak di akademi United dan berharap ia tidak menjejaskan perkembangan mereka," katanya.

United sekadar mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak Amorim mengambil alih, termasuk kekalahan 1-3 kepada Brentford, Sabtu lepas, yang menyaksikan mereka kini di tangga ke-14 liga.

Musim lalu, Red Devils menamatkan saingan di kedudukan ke-15 sekali gus merekodkan pencapaian terburuk dalam tempoh 51 tahun. – AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello