fb fb fb fb fb

Soon Huat-Shevon Lai juara beregu campuran Masters Malaysia

Pasukan beregu campuran negara, Goh Soon Huat (kanan) dan Lai Shevon Jemie menjulang Piala Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2024 selepas Malaysia menang kepada Indonesia/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mei - Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai merangkul gelaran juara kategori itu selepas berjaya menumpaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari dalam aksi Badminton Masters Malaysia di sini, hari ini.

Kejohanan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan pasangan diranking ke-6 dunia hanya memerlukan 48 minit untuk meraih kemenangan straight set 21-18 dan 21-19. 

Kejayaan membolehkan Soon Huat-Shevon yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 4 Mei, menamatkan kemarau tujuh Masters Malaysia untuk wakil negara meraih gelaran kejohanan Super 500 itu.

Gandingan negara itu menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah perkahwinan terbaik. 

"Saya tidak sangka kami boleh sampai hingga sejauh ini (final dan muncul juara). Pada awalnya apabila melihat undian cabaran agak sengit dan ia kelihatan sukar.

"Namun akhirnya, impian menjadi kenyataan dan ini memori yang sangat indah buat kami. Lebih-lebih lagi ia diraih di hadapan penyokong sendiri," ujar Shevon ketika ditemui media sejurus tamat permainan.

Pasangan itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM156,350), manakala Rinov-Pitha Haningtyas berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,206).

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara saingan berkenaan ialah menerusi Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing pada edisi 2017.

GRACE AISYAH KEDAYAN