SINGAPURA, 7 Jun- Son Heung-min memberitahu pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) supaya tidak tergesa-gesa dalam mencari jurulatih tetap ketika Jurgen Klinsmann menyelar pemecatannya pada Februari.
Bintang Tottenham itu menjaringkan dua gol ketika Korea Selatan menempah tempat ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia pada Khamis dengan membelasah Singapura 7-0.
Pasukan Korea bermain di bawah bimbingan jurulatih sementara mereka, Kim Do-hoon, sejak Klinsmann dipecat berikutan tersingkir daripada pusingan separuh akhir Piala Asia awal tahun ini di Qatar.
Kim Do-hoon turut akan menerajui pasukan bagi aksi menentang China, di tempat sendiri pada Selasa.
“Walaupun ia mengambil masa, saya rasa penting untuk kami mencari jurulatih yang sesuai dengan kami dan jenis bola sepak yang kami mahu mainkan,” kata Son kepada pemberita di Singapura selepas kemenangan besar itu.
Jurulatih bawah 23 tahun, Hwang Sun-hong diletakkan sebagai pengurus sementara untuk dua perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Mac tetapi reputasinya terjejas teruk apabila Korea Selatan gagal layak ke Sukan Olimpik Paris.
Son berkata pasukan melalui fasa sukar tanpa jurulatih tetap namun, pemain sedang berusaha untuk menyesuaikan diri, agar boleh bermain dengan baik dalam suasana yang positif.
Klinsmann dipecat selepas hanya setahun menerajui pasukan selepas pasukan Korea itu dikalahkan 2-0 oleh pasukan bukan pilihan, Jordan di Piala Asia.- AFP