fb fb fb fb fb

Ketiadaan Thiago Silva, Chelsea pilih Tosin Adarabioyo sebagai pengganti

Foto FB Chelsea

LONDON, 7 Jun- Chelsea telah menandatangani pertahanan tengah dari Fulham, Tosin Adarabioyo secara percuma, umum kelab Liga Perdana itu pada Jumaat.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai pasukan Stamford Bridge dengan kontrak empat tahun bermula pada 1 Julai, telah membuat satu penampilan untuk England Bawah-19 dan telah bermain 78 kali dalam Liga Perdana.

Dia adalah pemain pertama yang menyertai Chelsea sejak mereka mengumumkan ketibaan ketua jurulatih baharu, Enzo Maresca awal minggu ini dan akan memperkukuh bahagian pertahanan tengah berikutan pemergian veteran, Thiago Silva.

"Kami gembira dapat membawa Tosin ke Chelsea. Sepanjang kariernya, dia telah mempamerkan kematangan dan kualiti pertahanannya dan telah memperoleh banyak pengalaman dalam Liga Perdana dalam beberapa musim kebelakangan ini."

"Dia bersedia untuk melangkah ke Chelsea dan bekerja bersama pemain berbakat dalam skuad kami. Kami berharap Tosin menyertai kami untuk pramusim," kata pengarah sukan bersama Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley.

Chelsea sedang berusaha untuk memulihkan nasib mereka di bawah Maresca selepas menduduki tempat keenam musim lalu.

"Saya tidak sabar untuk memulakan kerja dengan Enzo dan saya pasti pemain lain juga begitu."

"Ia akan menjadi menarik. Kami akan bermain bola sepak yang baik dan memenangi banyak perlawanan. Terdapat pemain terbaik dalam skuad ini dan saya tidak sabar-sabar untuk bermain dengan mereka semua," kata Adarabioyo.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM