KUALA LUMPUR, 6 Jun - Peluang Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila gagal membawa pulang kemenangan selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan di Bishkek, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya kekal di kedudukan ketiga saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan mengumpul tujuh mata, dipisahkan tiga mata dengan Kyrgyzstan di posisi kedua yang turut memiliki kelebihan perbezaan jaringan menjelang aksi terakhir.
Pada aksi di Stadium Dolen Omurzakov itu, pengendali pasukan negara Kim Pan Gon bertindak berani apabila mempertaruhkan gandingan pertahanan tengah Dominic Tan dan Muhammad Safwan Mazlan yang membuat debut antarabangsa sementara memilih kapten Dion Cools di posisi sayap kanan.
Biarpun turun tanpa beberapa tonggak jentera serangan yang mengalami kecederaan, Malaysia tetap tampil dengan persembahan memberangsangkan terutama pada separuh masa pertama apabila berjaya memberikan tentangan ke atas lawan yang menghuni ranking dunia ke-100 itu.
Pemain pertahanan Kairat Zhyrgalbek Uulu melancarkan serangan pertama Kyrgyzstan pada minit ke-12 menerusi rembatan deras leret yang berjaya dibaca penjaga gol negara Muhammad Azri Abdul Ghani.
Kyrgyzstan terus mengasak dengan menyaksikan pemain tengah Gulzhigit Alykulov terlepas peluang keemasan untuk meletakkan pasukan kendalian Stefan Tarkovic di depan apabila rembatan voli beliau dari jarak dekat selepas menerima hantaran lintang Alimardon Shukurov meliar pada minit ke-20.
Kealpaan barisan pertahanan negara akhirnya dihukum dengan jaringan pembukaan Kyrgyzstan menerusi Alykulov pada minit ke-24 selepas pemain itu menyempurnakan hantaran penyerang Joel Kojo yang terdahulu bijak mengawal bola hantaran jauh Kairat Zhyrgalbek Uulu dari sebelah kiri.
Bagaimanapun, Malaysia boleh menarik nafas lega apabila pemain pertahanan lawan Odilzhon Abdurakhmanov menjaringkan gol sendiri untuk menjadikan kedudukan 1-1 selepas tertanduk bola sepakan percuma pemain tengah naturalisasi negara Endrick Dos Santos pada minit ke-38.
Menghampiri rehat, penyerang naturalisasi Paulo Josue terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia di depan selepas tandukannya diselamatkan penjaga gol Erzhan Tokotaev dalam situasi satu lawan satu pada masa tambahan separuh masa pertama.
Aksi babak kedua menyaksikan tempo permainan lebih perlahan dengan Dos Santos dan Josue masing-masing mempunyai peluang menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun dinafikan Tokotaev manakala Muhammad Azri turut menyelamatkan beberapa percubaan lawan.
Dalam pada itu, Oman berjaya mengesahkan tempat di Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menumpaskan Taiwan 3-0 malam ini pada satu lagi aksi kumpulan sekali gus mengumpul 12 mata di kedudukan teratas Kumpulan D.
Selepas ini, Malaysia yang mempunyai defisit dua gol dalam perbezaan jaringan akan melayani kunjungan Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Selasa depan manakala Kyrgyzstan dengan kelebihan enam gol akan bertandang ke Muscat bertemu Oman.
Sekiranya gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan turut mengesahkan tempat di Piala Asia 2027 secara automatik, Malaysia dijadual mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 untuk membuat penampilan kali kedua berturut-turut di pertandingan itu. - BERNAMA