LOS ANGELES, 15 Ogos- Kehadiran bintang baharu Son Heung-min mula memberi impak besar kepada skuad Los Angeles Football Club (LAFC), pasukan dalam Major League Soccer (MLS).
Perkara itu diakui ketua jurulatih, Steve Cherundolo selepas sesi latihan pasukan pada Khamis.
Jelas Cherundolo, beliau kagum dengan prestasi latihan serta profesionalisme Son, baik di dalam mahupun di luar padang dan menjangkakan penyerang Korea Selatan itu akan mengambil peranan lebih besar sebagai ketua pasukan sebaik sahaja menyesuaikan diri sepenuhnya.
“Pemain seperti ini tidak akan sampai ke tahap tertinggi dalam sukan tanpa menjadi profesional terbaik dan bekerja keras,” katanya kepada Reuters.
Tambah Cherundolo, keputusan untuk menyenaraikan Son dalam kesebelasan utama akan dibuat sebelum perlawanan seterusnya.
Dalam sesi latihan Khamis itu, Son bersama bintang LAFC, Denis Bounga kekal di padang selepas tamat latihan untuk mengadakan latihan rembatan bersama beberapa pemain muda pasukan.
Penyerang LAFC, Nathan Ordaz berkata kehadiran Son membawa tahap intensiti baharu kepada skuad.
“Dia tidak pernah ambil hari yang ringan. Dia sentiasa berada pada tahap terbaik. Jadi, saya ikut dan hormati perkara itu dan cuba belajar sebanyak mungkin daripada pengalamannya,” katanya. -REUTERS