OHIO, 15 Ogos- Juara bertahan, Jannik Sinner berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Cincinnati Masters selepas menundukkan pilihan ke-23 dari Kanada, Felix Auger-Aliassime.
Pemain nombor satu dunia dari Itali itu mencatat kemenangan bergaya menerusi aksi straight set dengan pungutan mata 6-0, 6-2 pada Khamis.
Sinner bakal berdepan sama ada pilihan ketujuh dari Denmark, Holger Rune atau pemain kelayakan Perancis, Terence Atmane bagi perebutan tempat ke pentas akhir.
Kejayaan itu turut menyaksikan Sinner melebarkan rekod kemenangan di gelanggang keras kepada 25 perlawanan berturut-turut, menjadikannya pemain kelima abad ini mencapai pencapaian tersebut selepas Roger Federer, Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Andy Murray.
Kali terakhir Sinner tewas di gelanggang keras adalah pada pentas akhir Terbuka Beijing Oktober lalu, kepada Carlos Alcaraz.
Sementara itu, juara Terbuka Kanada baru-baru ini, Ben Shelton menggembirakan penyokong tuan rumah apabila menewaskan pilihan ke-22 dari Republik Czech, Jiri Lehecka, 6-4, 6-4 untuk menempah slot suku akhir menentang pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev. - REUTERS