fb fb fb fb fb

Sokongan kerajaan negeri penting bantu atlet pekak berdaya saing

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn

KUCHING, 5 Oktober - Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) menyeru kerajaan negeri agar terus memberi sokongan dan bantuan kepada persatuan sukan orang pekak di seluruh negara bagi memperkukuh pembangunan atlet berkeperluan khas.

Presidennya, Dr. Ong Shin Ruenn berkata, sokongan kerajaan negeri amat penting dalam membantu persediaan atlet menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Persatuan memang mengharapkan untuk SOPMA, kerajaan negeri dapat membantu persatuan negeri masing-masing dalam persiapan atlet, khususnya atlet orang pekak yang berdepan pelbagai cabaran dan memerlukan sokongan kerajaan negeri serta bantuan lain bagi memastikan persediaan yang lebih rapi," katanya.

Menurut Dr. Ong, penganjuran Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) diyakini mampu melahirkan lebih ramai atlet pekak muda berbakat sebagai pelapis negara.

Katanya, edisi kali ini turut menyaksikan ramai atlet berjaya memecah rekod baharu dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Beliau berkata demikian kepada RTM semasa menjadi tetamu program Cerita Pagi Sarawak menerusi segmen Selamat Pagi Malaysia di Kuching, hari ini.

Penganjuran SOPMA 2025 melibatkan penyertaan 14 negeri, dengan lebih 600 atlet dan hampir 800 pegawai pengiring, membabitkan lima acara utama iaitu futsal, orienteering, badminton, tenpin boling dan olahraga.

SOPMA yang mula diperkenalkan sejak 1985 diadakan secara dwitahunan dan tahun ini Sarawak menjadi tuan rumah bagi temasya yang berlangsung mulai 1 hingga 7 Oktober ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE