TANGKAK, 5 Oktober - Pemilihan Tangkak, Johor sebagai lokasi terakhir pelepasan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) memberi peluang untuk mempromosikan keunikan daerah berkenaan.
Pegawai Daerah Tangkak, Mohd Johari Tarmidi berkata, ia merupakan julung kali daerah itu dipilih bagi acara perlumbaan bertaraf antarabangsa.
Ujarnya antara produk kebudayaan yang dipersembahnkan kepada peserta dan orang ramai ialah seni silat Jurus Ledang.
"Warisan dan seni budaya daerah Tangkak itu sendiri kita tonjolkan menerusi jurus ledang iaitu seni persilatan yang kita gabungkan dalam semua disiplin yang ada di daerah Tangkak. Ini menjadikannya satu jurus dan pada hari ini juga kita tampilakan persembahan Kemplingan iaitu satu-satunya alat muzik yang hanya dimainkan di daerah ini sahaja," katanya.
Peingkat ke 8 LTDL hari ini bermula di Dataran Ledang, Tangkak hingga KLCC, Kuala Lumpur sejauh 188.7 kilometer.
Perlumbaan turut melalui daerah Alor Gajah di Melaka, Tampin dan Seremban di Negeri Sembilan sebelum memasuki Semenyih, Ampang dan Hulu Langat.
