JOHOR BAHRU, 5 Oktober – Dua pemain remaja kebangsaan di bawah Program Pembangunan Junior Kebangsaan (NJDP) anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA) terus mengharumkan nama negara apabila muncul juara dalam dua kejohanan antarabangsa yang berlangsung serentak di Johor, hari ini.
Pemain muda berbakat, Ammar Aiman Mohd Fauzi, dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Singapore Junior Development Tour (SJDT) 2025 yang berlangsung di Tanjong Puteri Golf Resort selepas mencatat skor konsisten 69, 76 dan 71 par golf, sekali gus melayakkannya tersenarai dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR).
Pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai titik tolak penting dalam kariernya sebagai pemain golf muda negara.
“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Ia membakar semangat saya untuk terus bekerja keras dan membawa nama Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Maverick Chua turut mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Independent International Invitational 2025 yang diadakan di The Els Club Desaru dengan skor 11 bawah par.
Pengerusi NJDP, Mohd Fauzi Mesran, berkata kejayaan dua pemain tersebut membuktikan keberkesanan program pembangunan anjuran MGA dalam melahirkan pelapis sukan golf negara bertaraf antarabangsa.
“Kemenangan Maverick dan Ammar adalah bukti bahawa pemain muda Malaysia kini setanding dengan peringkat antarabangsa. Mereka sudah bersedia menyahut cabaran sebagai pemain kebangsaan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar agensi kerajaan, penaja korporat dan komuniti golf tampil memberi sokongan berterusan, khususnya dari segi bantuan kewangan, bagi memastikan kesinambungan program pembangunan sukan berkenaan dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada lebih ramai pemain muda di seluruh negara.
Program NJDP akan terus komited melahirkan lebih ramai pemain pelapis bertaraf dunia melalui latihan berstruktur dan penyertaan kejohanan antarabangsa di bawah bimbingan jurulatih profesional.
