KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Skuad hoki remaja negara menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2025.
Kejohanan akan membuka tirai pada 11 Oktober hingga 18 Oktober di Stadium Hoki Taman Daya, Johor.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyatakan pemain perlu menampilkan prestasi terbaik sepanjang kejohanan berprestij peringkat bawah 21 tahun itu bagi menebus kekecewaan pada edisi lalu.
"Fokus pasukan bukan hanya kepada keputusan, sebaliknya terhadap peningkatan prestasi dan disiplin pemain.
"Sasaran utama ialah menamatkan saingan di kedudukan podium, dengan penekanan kepada keyakinan diri dan konsistensi sebagai kunci kejayaan," katanya menerusi kenyataan di Facebook Konfederasi Hoki Malaysia.
Menurutnya, skuad Young Tigers telah menjalani persiapan rapi sebelum ini.
"Beberapa siri perlawanan diadakan termasuk perlawanan persahabatan dengan China, India, Australia dan Bangladesh sepanjang tahun ini," tambahnya.
Dengan gabungan tenaga muda dan berpengalaman, skuad remaja negara kini bertekad mencipta detik manis di bumi Johor, gelanggang yang pernah melahirkan bintang masa depan hoki Malaysia.
Pasukan negara dijadual membuka tirai saingan menentang Pakistan, diikuti Australia, New Zealand, Great Britain dan India dalam aksi peringkat kumpulan.
