LOS ANGELES, 6 Oktober - Jaringan lewat Denis Bouanga pada minit ke-86 memastikan kemenangan 1-0 Los Angeles FC ke atas Atlanta United dalam aksi Liga MLS, awal pagi tadi.
Gol ke-24 Bouanga musim ini menyamakan kedudukannya dengan Lionel Messi dari Inter Miami sebagai penjaring terbanyak liga, sekali gus melanjutkan rekod kemenangan LAFC kepada lima perlawanan berturut-turut.
Bouanga menyempurnakan peluang selepas tandukan pertahanan Atlanta, Enea Mihaj, terkena hantaran Marco Delgado sebelum beliau melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol muda Jayden Hibbert.
Atlanta gagal memberi saingan dengan hanya tiga percubaan berbanding 15 oleh LAFC, termasuk satu percubaan tepat hasil rembatan Bartosz Slisz pada minit ke-58 yang diselamatkan Hugo Lloris. Percubaan terbaik pelawat hadir pada minit ke-70 apabila bola Slisz terkena tiang.
LAFC akan menamatkan aksi di laman sendiri menentang Toronto FC pada Rabu, manakala Atlanta United bakal bertandang ke Inter Miami bagi perlawanan terakhir di tempat lawan musim ini pada Sabtu.-REUTERS
