LIVERPOOL, 12 September – Pengurus Liverpool, Arne Slot menggesa penyokong The Reds agar bersabar menantikan penampilan sulung penyerang baharu, Alexander Isak yang dijangka diturunkan secara berperingkat dalam aksi Liga Perdana menentang Burnley hujung minggu ini.
Isak, 25, melengkapkan perpindahan bernilai £125 juta (AS$169 juta) dari Newcastle United pada hari terakhir jendela perpindahan, sekali gus menamatkan spekulasi panjang yang berlarutan sepanjang musim panas.
Setakat ini, bintang Sweden itu hanya beraksi 18 minit musim ini ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kekalahan 0-2 skuad kebangsaan menentang Kosovo, Isnin lalu.
Slot dalam nada positif memuji langkah jurulatih Sweden, Jon Dahl Tomasson yang menggunakan Isak secara berhati-hati, sambil menegaskan Liverpool turut akan menguruskan minit permainan penyerang baharu itu dengan teliti.
Selain itu, Liverpool hampir mendapatkan khidmat pertahanan England, Marc Guehi dari Crystal Palace pada hari terakhir jendela perpindahan, namun urusan tersebut gagal dimuktamadkan.
Liverpool kini berada di puncak carta Liga Perdana dengan sembilan mata maksimum selepas meraih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan. -REUTERS
