KUALA LUMPUR, 12 September – Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou meluahkan kekecewaan terhadap Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang didakwa masih gagal menyalurkan insentif tunai RM60,000 seperti dijanjikan selepas kejayaannya meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Paris tahun lalu.
Dalam kenyataan di Instagram miliknya, Liek Hou menegaskan isu tersebut hanya melibatkan MPM dan tidak berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).
Beliau menjelaskan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) telah disalurkan sebulan selepas temasya Paris berakhir melalui inisiatif KBS, namun insentif tambahan yang diumumkan MPM masih belum diterima.
“Saya berharap apa yang telah dijanjikan atau diumumkan di media sosial untuk pengetahuan masyarakat dapat segera ditunaikan. Jangan memberikan harapan palsu kepada atlet para kerana kami sangat bergantung kepada ganjaran, bonus serta SHAKAM daripada kerajaan mahupun pihak-pihak lain yang ingin membantu,” katanya.
Pada Ogos tahun lalu, MPM mengumumkan tiga syarikat telah berjanji menyalurkan insentif RM60,000 kepada setiap pemenang emas negara, manakala pemenang perak dan gangsa masing-masing dijanjikan RM30,000 dan RM15,000.
Untuk rekod, Liek Hou pernah muncul juara acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Tokyo 2020 sebelum mempertahankan kejuaraan itu di Paris.
