SHAH ALAM, 12 September – Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) edisi ke-15 bakal membuka tirai dari 17 September hingga 5 Oktober ini dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) diberi mandat selaku tuan rumah.
Sebanyak sembilan daerah akan menghantar lebih 2,300 atlet untuk merebut 411 pingat melalui 122 acara membabitkan 11 jenis sukan termasuk olahraga, ragbi, pencak silat, memanah, bola jaring dan taekwondo.
Sebahagian besar acara akan berlangsung di sekitar Klang, manakala lima sukan utama iaitu boling padang, sepak takraw, bola jaring, ragbi dan bola tampar dijadualkan di Shah Alam.
Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata SUKSES bukan sekadar pentas pertandingan, sebaliknya platform pembangunan bakat baharu.
Mohd Najwan Halimi / Foto Bernama
“Fokus kita adalah untuk mempersiapkan atlet yang dikenal pasti berpotensi mewakili negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang. Setiap dua tahun sekali, SUKSES dianjurkan sebagai medan persediaan serta peluang kepada atlet yang dibangunkan tetapi belum pernah diberi ruang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Format kejohanan turut mengekalkan konsep seakan-akan SUKMA bagi membiasakan atlet Selangor dengan suasana pertandingan berskala besar.
Selain menjadi medan menggilap bakat, SUKSES 2025 dijangka menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat Klang dengan kehadiran ribuan atlet, pegawai dan penyokong sepanjang hampir tiga minggu penganjuran.
Untuk rekod, daerah Petaling muncul juara keseluruhan pada edisi 2023. Persaingan sengit dijangka berulang tahun ini apabila semua daerah membariskan atlet terbaik mereka dalam usaha menamatkan dominasi tersebut.
Majlis Sukan Negeri Selangor optimis kejohanan kali ini mampu menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai atlet pelapis yang berpotensi diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
