fb fb fb fb fb

Skuasy dipertandingkan di Olimpik Los Angeles 2028

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Skuasy bakal dipertandingkan di pentas Sukan Olimpik 2028 (LA28) selepas mendapat kelulusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India pada Isnin.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) antara yang gembira dengan keputusan berkenaan.

Buat pertama kalinya, skuasy akan mempertandingkan dua pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar bersara S.Maniam menyifatkan berita baik ini sebagai langkah kehadapan bagi mengangkat sukan itu ke taraf lebih tinggi.

Beliau juga berharap barisan pemain skuasy negara akan diserap ke dalam program Road to Gold bagi membantu mempersiapkan atlet menghadapi temasya Los Angeles.

Harapan negara untuk menyerlah pada Olimpik 2028 itu dilihat cerah berdasarkan prestasi cemerlang meraih tiga pingat emas di Sukan Asia baru-baru ini.

Dalam perkara berkaitan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuji keputusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyokong kemasukan lima sukan baharu untuk dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, antara lima sukan itu, skuasy sentiasa konsisten menyumbang pingat buat negara termasuk di sukan Asia baru-baru ini.

Tambah Norza, pihaknya juga akan berusaha membantu kemajuan positif sukan skuasy.

Dalam masa sama, Norza turut mengakui bakal berdepan cabaran untuk memastikan sukan itu terus dipertandingkan selepas Temasya Los Angeles 2028.

Selain skuasy, sukan baharu lain yang turut dipertandingkan ialah baseball atau softball serta kriket.

rtm
(FOTO RTM)

 

Media Baharu