fb fb fb fb fb

Bendera negara lain antara item larangan dibawa masuk ke aksi akhir Pestabola Merdeka 2023

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Penyokong bola sepak akan hadir ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok diingatkan supaya tidak membawa masuk sebarang bahan terlarang termasuk bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin menerusi satu kenyataan berkata bahan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, penunjuk laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras, payung dan tongkat dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.

"Dijangka seramai 45,000 orang penyokong akan hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Bukit Jalil di sini dan semua pintu masuk stadium akan dibuka pada pukul 6 petang.

"Peminat bola sepak turut dinasihat menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium selain bersabar, berhemah serta bertolak-ansur jika memandu kenderaan,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas ACP Zam Halim, orang ramai yang tidak menuju ke stadium juga dinasihatkan untuk mengelak melalui jalan di sekitar stadium berkenaan bagi mengurangkan kesesakan.

"Orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu," katanya.


rtm

(Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin)

Media Baharu