fb fb fb fb fb

Harimau Malaya pamer corak permainan menyerang berdepan Tajikistan malam esok

(FOTO FB FAM)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memberi jaminan anak buahnya akan terus menampilkan corak permainan menyerang apabila berdepan dengan pasukan yang menghuni ranking ke-110 dunia, Tajikistan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka, malam esok.

Pan Gon pada masa sama berharap cuaca pada malam esok dan permukaan padang berada dalam keadaan baik bagi membolehkan pasukannya menampilkan permainan sebenar.

rtm
(Kim Pan Gon)

"Kami mahu Malaysia bermain agresif, sentiasa mendominasi dan mengawal perlawanan serta menampilkan corak permainan menarik dan tidak membosankan.

"Kami mahu mempamerkan permainan menyerang berdepan mereka (Tajikistan). Kami tidak mahu menunggu sebaliknya akan memaksa mereka melakukan kesilapan," kata Pan Gon.

Kemenangan malam esok penting bagi skuad negara sebagai membalas dendam kekalahan keatas Tajikistan pada kejohanan Piala Raja Thailand tahun lalu.

Sementara itu, jurulatih Tajikistan, Petar Segrt menganggap Harimau Malaya sebagai pasukan pilihan untuk aksi malam esok.

Menurutnya, selain ketiadaan ramai tonggak utama, beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong lawan akan menyukarkan pasukannya meraih kemenangan.

"Beraksi di hadapan 60,000 penyokong sudah tentu sukar. Sebahagian pemain saya baru berumur 16 tahun. Mungkin kami akan kalah dan saya rela dipersalahkan kerana saya yang membawa mereka ke sini. Tetapi kami kekurangan pemain yang mampu membarisi skuad Tajikistan," kata Segrt.

Pertembungan final antara Harimau Malaya dan Tajikistan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Media Baharu