MANJUNG, 10 Ogos – Perak FA sekadar meraih satu mata di laman sendiri selepas seri tanpa jaringan menentang Kedah FA dalam aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.
Tuan rumah turun dengan misi memburu kemenangan pertama musim ini selepas tewas kepada UM-Damansara United pada aksi pembukaan, 4 Ogos lalu.
Perak FA berpeluang membuka jaringan seawal minit pertama menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Kedah FA.
Namun, percubaan Daniel Hakimi berjaya ditepis penjaga gol, Rajendran Veloo.
Babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan.
Bersambung babak kedua, permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan beberapa percubaan berbahaya, namun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan.
Segala usaha berjaya dipatahkan barisan pertahanan menyaksikan kedudukan 0-0 kekal hingga wisel penamat.