fb fb fb fb fb

Liga Super: KL City pamer aksi cemerlang, benam IFC 3-0

Foto FB MFL

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Kuala Lumpur City (KL City) FC membuka lembaran musim baharu Liga Super 2025/2026 dengan positif selepas mengatasi pendatang baharu Imigresen FC (IFC) 3-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, hari ini.

Skuad Warga Kota yang bermula perlahan di babak pertama membuka tirai jaringan selepas pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Rizal Mohd Ghazali tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengunci gerakan ketua pasukan Paulo Josue pada minit ke-30.

Tersentak dengan jaringan itu, IFC cuba mencari gol penyamaan namun palang menjadi pemisah buat mereka susulan rembatan deras dari luar kotak penalti oleh tonggak import, Rafael Holstein, selang empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, tonggak baharu KL City, Muhammad Safawi Rasid menambah luka skuad bimbingan Yusri Che Lah apabila menggandakan jaringan pasukannya dengan menanduk masuk bola sepakan percuma dari sebelah kanan oleh pemain import dari Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-56.

Penjaga gol pelawat, Quincy Kammeraad kemudian bertindak cemerlang menafikan peluang besar tuan rumah merapatkan jurang menerusi sepakan penalti penyerang import Joao Pedro pada minit ke-71.

Malang terus menimpa IFC apabila kekasaran dilakukan Holstein terhadap pemain gantian Zhafri Yahya membuka ruang buat Hidalgo mencetak gol ketiga KL City dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-83.

Hasrat tuan rumah untuk sekurang-kurangnya mencari gol sagu hati tidak kesampaian apabila sepakan penalti Holstein pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa kedua sekadar menggegar palang sekali gus memberikan permulaan goyah buat mereka dalam penampilan sulung Liga Super kali ini. -BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM