fb fb fb fb fb

ARM 2025 pemacu inovasi sosial berskala besar, libat lebih ramai belia

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi ARM 2024 dan pelancaran ARM 2025 di ibu negara.

SERDANG, 9 Ogos- Akademi Rakan Muda (ARM) 2025 disasar menjadi pemacu inovasi sosial berskala lebih besar dengan menjangkau lebih ramai penerima manfaat di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata sebanyak 10 projek impak sosial akan dilaksanakan dengan peruntukan sehingga RM15,000 bagi setiap projek, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada belia untuk memimpin inisiatif berasaskan komuniti.

“Saya lihat mereka mempunyai pelbagai projek merangkumi kesenian, sains dan literasi kewangan, yang memenuhi keperluan belia di luar sana. Namun, apa yang saya mahu mereka pelajari ialah melaksanakan perubahan berasaskan data.

Maka sebab itu, kita mahu bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi memastikan setiap perubahan yang dilakukan oleh anak muda adalah positif dan berpandukan data," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi ARM 2024 dan pelancaran ARM 2025 di ibu negara.

ARM yang diterajui oleh Impact Integrated menerusi inisiatif Impact Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menyediakan platform bimbingan, pendanaan dan latihan untuk belia membangunkan projek mengikut 10 Gaya Hidup Rakan Muda.

Tahun lalu, ARM 2024 berjaya menjangkau lebih 8,000 individu secara langsung menerusi pelaksanaan projek yang melibatkan komuniti luar bandar, golongan rentan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan pribumi Sabah serta Sarawak.

Bagi edisi 2025, program itu akan memperkukuh ekosistem impak sosial selari dengan kerangka Malaysia MADANI, termasuk projek pemeliharaan warisan budaya, pembangunan luar bandar yang mampan dan penyelesaian inovatif isu sosial setempat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM