fb fb fb fb fb

SUKMA 2026: Selangor cadang tiga sukan tambahan, jawatankuasa bermesyuarat

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

SERDANG, 9 Ogos- Selangor mencadangkan tiga sukan tambahan iaitu muaythai, silambam dan petanque untuk dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata cadangan tersebut akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa SUKMA minggu hadapan untuk perbincangan serta mendapat persetujuan semua negeri.

Menurut beliau, tarikh akhir untuk memuktamadkan senarai sukan adalah pada 15 Ogos, ia bagi memastikan persiapan temasya dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Saya difahamkan Majlis Sukan Negara (MSN) telah memanggil Jawatankuasa SUKMA dan mereka akan bermesyuarat minggu hadapan untuk mereka luluskan cadangan kerajaan negeri Selangor bagi penganjuran tiga sukan tambahan ini.

Cabaran semasa adalah setiap negeri penganjur akan memilih sukan yang akan memberi mereka kelebihan untuk menang dan ini adalah standard untuk semua penganjur SUKMA seperti sebelum ini," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas merasmikan Majlis Graduasi Akademi Rakan Muda (ARM) 2024, di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, KBS turut mencadangkan supaya selepas edisi 2028 di Kelantan, penganjuran SUKMA dikendalikan terus oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan senarai sukan lebih konsisten dan standard pertandingan dapat dikekalkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM