fb fb fb fb fb

Rodri dijangka kembali perkuat pasukan September ini

Rodri terlepas sebahagian besar aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu akibat kecederaan ligamen

LONDON, 9 Ogos - Pemain tengah Manchester City, Rodri dijangka cergas sepenuhnya selepas rehat antarabangsa September ini, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Pemenang Ballon d’Or 2024 itu terlepas sebahagian besar aksi musim lalu akibat kecederaan ligamen, sebelum kembali pulih namun sekali lagi ditimpa kecederaan ketika saingan Piala Kelab Dunia di Amerika Syarikat bulan lalu.

“Rodri semakin pulih tetapi dia mengalami kecederaan serius dalam perlawanan menentang Al-Hilal dan terpaksa berehat lima hingga enam minggu. Dia sudah mula berlatih dan dalam dua atau tiga hari kebelakangan ini menunjukkan perkembangan positif.

“Kami berharap selepas rehat antarabangsa dia benar-benar cergas. Sebelum itu mungkin dia boleh bermain beberapa minit, tetapi yang penting tiada rasa sakit supaya dia tidak berulang kali cedera,” kata Guardiola.

Ketiadaan pemain berusia 29 tahun itu juga menjadi faktor City gagal mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Juara EPL lapan kali itu akan membuka saingan 2025/2026 berdepan Wolves pada 17 Ogos ini di tempat lawan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD