MANCHESTER, 9 Ogos- Manchester United mengumumkan pada Sabtu bahawa kelab itu telah menandatangani penyerang Slovenia, Benjamin Sesko dari RB Leipzig dengan kontrak sehingga 2030.
Yuran perpindahan bernilai €76.5 juta (AS$89 juta) dengan tambahan €8.5 juta sebagai bonus.
Sesko, 22 tahun yang menyertai Leipzig dari kelab Austria RB Salzburg pada 2023, menjaringkan 39 gol dalam 87 penampilan merentasi semua pertandingan bersama kelab Jerman itu.
“Sejarah Manchester United sememangnya sangat istimewa tetapi apa yang benar-benar membuatkan saya teruja adalah masa depannya.
"Apabila kami membincangkan projek ini, jelas semuanya sudah tersedia untuk pasukan ini terus berkembang dan kembali bersaing merebut trofi-trofi besar tidak lama lagi. Ia jelas tempat yang sempurna untuk saya mencapai tahap maksimum dan memenuhi semua cita-cita saya."
Saya tidak sabar untuk mula belajar daripada (pengurus) Ruben (Amorim) dan bekerjasama dengan rakan sepasukan bagi mencapai kejayaan yang kami semua yakin mampu dicapai bersama,” kata Sesko dalam kenyataan.
Untuk musim baharu, United turut menandatangani penyerang, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo serta pertahanan kiri, Diego Leon.
Secara keseluruhan, United telah membelanjakan sekitar £200 juta selepas menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di tangga ke-15, kedudukan terburuk mereka dalam liga utama sejak 51 tahun lalu.
Keempat-empat pemain baharu itu akan diperkenalkan di Old Trafford sebelum aksi persahabatan menentang pasukan Itali, Fiorentina, malam ini.- REUTERS