fb fb fb fb fb

Barcelona lantik semula Ter Stegen sebagai kapten, tutup kes disiplin

Foto Reuters

BARCELONA, 9 Ogos- Barcelona pada Jumaat mengumumkan penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen dilantik semula sebagai kapten kelab selepas kes disiplin terhadapnya ditutup.

Sebelum ini, beliau enggan memberi kebenaran kepada skuad The Catalan untuk menghantar laporan perubatannya kepada LaLiga.

Terdahulu, Barca meminta Ter Stegen menandatangani cuti perubatan jangka panjang yang membolehkan kelab memotong 80 peratus gajinya sehingga pertengahan musim, bagi mematuhi peraturan kewangan LaLiga.

Namun, Ter Stegen di media sosial mengumumkan bahawa beliau hanya akan berehat selama tiga bulan.

Situasi itu menimbulkan rasa kurang senang pengurusan kelab, susulan peraturan LaLiga mensyaratkan pemain berehat sekurang-kurangnya empat bulan untuk dikategorikan sebagai kecederaan jangka panjang.

Kontroversi itu sekali lagi menyerlahkan cabaran kewangan Barcelona yang berterusan berdepan kesukaran mendaftarkan pemain baharu sejak beberapa musim lalu.

Bulan lalu, Barca menandatangani penjaga gol berusia 24 tahun, Joan Garcia dari seteru setempat Espanyol, dengan media Sepanyol melaporkan kelab itu berhasrat menjual Ter Stegen, 33 tahun.

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban gaji bagi menampung Garcia serta pemain pinjaman dari Manchester United, Marcus Rashford.

Bagaimanapun, Ter Stegen perlu menjalani pembedahan tambahan bagi memulihkan sepenuhnya kecederaan ligamen lutut yang dialaminya musim lalu, sekali gus menutup peluang perpindahan pada jendela musim panas ini.

Barcelona dijadual memulakan aksi mempertahankan gelaran LaLiga pada 16 Ogos ini. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM