fb fb fb fb fb

Manchester United rasmi fasiliti latihan baharu bernilai £50 juta di Carrington

Foto Reuters

MANCHESTER, 9 Ogos- Manchester United merasmikan pembukaan fasiliti baharu bernilai £50 juta (AS$67.22 juta) di Kompleks Latihan Carrington, pada Jumaat.

Kompleks tersebut dinaik taraf dan dibuka seminggu sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula.

Projek selama setahun itu diketuai arkitek kelahiran Manchester, Norman Foster bersama firma Foster + Partners dan dibiayai sebahagiannya menerusi suntikan modal £300 juta (AS$403.47 juta) oleh pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe, tahun lalu.

Bangunan latihan berteknologi tinggi itu direka bentuk semula sumbangan idea pemain serta kakitangan dan dibuka sebaik sahaja pengurus, Ruben Amorim bersama skuadnya pulang dari siri jelajah pramusim di Amerika Syarikat (AS).

“Saya berharap fasiliti ini membawa Manchester United ke tahap yang sepatutnya. Saya rasa kita semua patut berbangga dengan kemudahan baharu ini,” kata Ratcliffe yang mencapai persetujuan menjadi pemilik bersama pada akhir 2023.

Kebanyakan barisan kepimpinan eksekutif United kini berpindah ke bangunan tersebut yang menampilkan kelengkapan serta teknologi dinaik taraf, dengan penekanan terhadap pemakanan, pemulihan dan kesepaduan pasukan.

Kerja naik taraf bangunan pasukan lelaki itu menyusul selepas pembinaan bangunan bernilai £10 juta (AS$13.44 juta) untuk pasukan utama wanita dan akademi lelaki pada 2024.

United akan menjadi tuan rumah berdepan Arsenal pada aksi pembukaan EPL, 17 Ogos ini. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM