fb fb fb fb fb

Austin Reaves sasar aksi lebih mantap musim keempat bersama Lakers

Kuala Lumpur menjadi salah satu persinggahan utama Reaves bagi Jelajah Asia Austin Reaves 2025 sebelum ia diteruskan ke destinasi seterusnya

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Pemain Los Angeles Lakers, Austin Reaves yakin persediaan rapi dan kerja keras bakal membantunya mempamerkan aksi lebih mantap pada musim keempat bersama Los Angeles Lakers.

Bintang berusia 28 tahun itu kini memberi tumpuan penuh kepada persiapan pramusim bagi memperkukuh peranannya bersama Lakers.

“Segala yang dibina oleh Lakers adalah berteraskan kerja keras, di dalam dan luar gelanggang. Semua dalam organisasi ini mahu menang, dan pada akhirnya, itulah matlamat sukan untuk menang,” katanya ketika ditemui pada sidang media Jelajah Asia Austin Reaves 2025 di ibu negara, hari ini.

0908 SKN AUSTIN REAVES TOUR 2Austin Reaves

Reaves yang juga sebahagian daripada skuad utama Lakers menegaskan, memahami permainan bola keranjang adalah kunci untuk memberi impak terhadap kemenangan pasukan, tidak kira di peringkat mana seseorang pemain beraksi.

“Kalau anda tahu permainan ini, anda berpeluang untuk berada di gelanggang dan membantu pasukan,” katanya.

Menjelang musim baharu NBA, Reaves mengekalkan rutin latihan yang ketat sambil mengelak daripada gangguan luar gelanggang, memilih untuk menghabiskan masa di gimnasium, padang golf dan rumah.

Jelajah Asia Austin Reaves 2025 bermula di Xiamen pada 2 Ogos sebelum meneruskan siri jelajah ke Shenzhen, Hong Kong dan Surabaya, Indonesia.

Kuala Lumpur menjadi salah satu persinggahan utama bagi jelajah ini sebelum ia diteruskan ke destinasi seterusnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN