KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) meletakkan sasaran meraih dua pingat daripada empat acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA di Thailand, Disember ini.
Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata sasaran kali ini digandakan berbanding edisi terdahulu bagi memberi cabaran lebih besar kepada pasukan.
“Kita sasarkan dua pingat, tidak kira warna apa. Kalau dapat lebih, itu lebih baik. Tahun lepas kita sasar satu, kita dapat. Jadi kali ini kita kena beri tekanan untuk dapat dua.
"Empat acara tersebut adalah 3x3 lelaki, 3x3 wanita, 5x5 lelaki dan 5x5 wanita. Pada edisi di Kemboja tahun lalu, skuad negara menepati sasaran dengan membawa pulang satu pingat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Jelajah Asia Austin Reaves 2025: Kuala Lumpur di The Starhill, di sini.
Menurutnya, skuad negara kini giat mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara termasuk di Taiwan dan Harbin, China, bagi membiasakan diri menentang pasukan yang mempunyai fizikal lebih besar.
Dalam perkembangan lain, MABA berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu mempercepatkan proses kelulusan tiga pemain naturalisasi yang telah ditemu bual Kementerian Dalam Negeri (KDN) dua bulan lalu.
Tiga pemain tersebut ialah dua dari Amerika Syarikat dan seorang dari Afrika Selatan, dengan dua daripadanya sudah bersama skuad kebangsaan serta beraksi di peringkat antarabangsa.
“Kita harap awal tahun ini mereka dapat bermain untuk negara. Kalau tak sempat lulus sebelum Sukan SEA, kita akan guna pemain sedia ada,” katanya.