JOHOR BAHRU, 8 Julai - Gandingan adik beradik, Aifa Azman dan Aira Azman menepati ramalan apabila bergelar Juara beregu wanita pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2024 di Arena Emas, Skudai, di sini, pada Ahad.
Kedua-dua mereka menewaskan pasangan senegara, Nor Ainaa Amani Ampandi dan Chan Yiwen.
Turun sebagai pilihan pertama, Aifa-Aira yang julung kali digandingkan tidak berdepan masalah apabila memperagakan corak permainan bertenaga.
Pasangan tersebut mudah menewaskan Ainaa Amani-Yiwen dengan catatan 11-6 dan 11-7.
Aira berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan tersebut meskipun mengalami kecederaan buku lali yang dialami pada aksi separuh akhir.
Dia mengakui tekanan dirasai sebagai pilihan utama, namun segalanya berhasil mengikut perancangan.
Turut senada, Aifa yang merasakan prestasi mereka kurang memberangsangkan ketika latihan.
Sementara itu, beregu lelaki negara Ong Sai Hung-Mohd Syafiq Kamal, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas kepada beregu India, Abhay Singh dan Belavan Senthilkumar dengan 4-11, 5-11.