fb fb fb fb fb

GT Asia: Pasukan JMR peroleh kedudukan podium di Suzuka

Foto FB Johor Racing

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) berjaya mengutip mata penting pada pusingan ke-7 dan ke-8 cabaran dunia Fanatec GT World Challenge Asia dengan memperoleh kedudukan podium di litar antarabangsa Suzuka, Jepun.

Bermula dari petak kesembilan di Pusingan ke-7, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan rakan sepasukan AMG, Mikael Grenier meraih penamat kedua dalam kelas Pro-AM sekali gus berada di tempat ketiga keseluruhan.

Pada perlumbaan seterusnya, Grenier cuba mengekalkan posisi namun diberi saingan sengit pasukan Craft Bamboo Racing.

Penalti yang diterima pada Pusingan ketujuh menyaksikan Tunku Abu Bakar tercicir ke kedudukan kesembilan selepas perubahan pemandu.

Mereka berjaya bangkit untuk berada di kedudukan kelima selepas itu.

"Saya cuma menggunakan pendekatan yang sama untuk kesemua perlumbaan dan berharap kami akan berada di podium lagi," kata Tunku Abu Bakar.

JMR menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam keseluruhan dan di kedudukan keempat dalam kelas Pro-Am.

Selepas ini, JMR dijadual melengkapkan cabaran di Litar Antarabangsa Okayama dari 23 hingga 25 Ogos ini.

Misi Tunku Abu Bakar pastinya untuk memperbaiki penamat keempat yang diraih pada musim 2023.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN