PETALING JAYA, 17 September - Skuad ragbi wanita kebangsaan optimis menampilkan aksi terbaik menjelang Kejohanan Ragbi 7 sebelah Asia 2025 Siri 1.
Kejohanan akan membuka tirai di Hangzhou, China pada 20 September ini.
Ketua jurulatih, Muhammad Faiz Samsukhidir berkata barisan pemain berada pada tahap terbaik selepas menjalani latihan intensif.
Pemilihan pemain kali ini dibuat dengan memberi penekanan kepada aspek kelajuan untuk menyaingi corak permainan pantas lawan serantau.
"Untuk kriteria kali ini, kami lebih fokus kepada kelajuan kerana kita tahu pasukan seperti Thailand, Filipina dan Indonesia memiliki kepantasan yang baik.
"Setakat ini, saya yakin skuad kali ini adalah yang terpantas dan terbaik di Malaysia,” katanya pada sesi latihan di Padang Astaka, di sini.
Menurut Faiz, kejohanan ini juga bakal menjadi penanda aras penting dalam menilai prestasi pasukan menjelang Sukan SEA Thailand 2025, Disember nanti.
Namun, beliau tidak menafikan cabaran getir menanti apabila skuad negara bakal berdepan pasukan handalan seperti China.
Pasukan negara dijangka berlepas ke Hanzhou pada Khamis ini.
Berdasarkan undian, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
